"...Setiap individu dalam komuniti berhak: Menghidup udara segar bebas tembakau, mengamalkan gaya hidup yang sihat dalam persekitaran bebas tembakau..."
Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat untuk menjadi universiti tempatan pertama yang merintis usaha mewujud dan melaksanakan Kampus USM Bebas Tembakau selaras dengan peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Akta Makanan 1983). Peraturan ini telah menyenaraikan institusi pendidikan tinggi sebagai salah satu daripada 21 kawasan yang digazetkan sebagai kawasan larangan merokok. Justeru, Polisi Bebas Tembakau 2012 telah diluluskan sebagai panduan dasar dalam pelaksanaan usaha ini.
INTIPATI POLISI USM BEBAS TEMBAKAU
- Polisi ini adalah terpakai kepada sesiapa sahaja yang memasuki kawasan kampus termasuk staf, pelajar, kontraktor, penyewa, dan semua pelawat yang mengunjungi USM.
- Semua tempat di dalam kampus diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok, termasuk:-
- Semua bangunan tertutup (termasuk bilik kuliah, bilik tutorial, makmal, ruang pejabat, tempat bekerja, tempat belajar, ruang tamu, bilik mesyuarat, ruang legar, koridor, ruang tangga, lif, ruang makan, dan tandas)
- Semua kawasan separa tertutup (termasuk laluan tertutup, laluan antara bangunan, dan tempat menunggu bas, kawasan sebelah pintu masuk bangunan, ruang patio, kafe, dan ruang tangga di luar bangunan)
- Semua kawasan terbuka di dalam kampus
- Semua tempat penginapan di dalam kampus
- Semua kenderaan yang dimiliki oleh USM atau disewakan kepada USM
- Semua kenderaan persendirian yang dipandu atau diparkir di dalam kawasan kampus
- USM juga TIDAK membenarkan:-
- Sebarang pengiklanan, promosi, pemasaran, pengedaran dan penjualan produk tembakau dalam sebarang bentuk di dalam kawasan kampus
- Penerimaan pembiayaan untuk penyelidikan atau biasiswa pelajar atau lain-lain bahan yang ditawarkan secara langsung atau tidak langsung daripada industri tembakau
- Penerimaan tajaan, pemberian / hadiah percuma atau penglibatan dalam sebarang kerjasama dengan industri tembakau
- Pelaburan yang melibatkan industri tembakau sama ada secara langsung atau tidak langsung
- Mana-mana industri tembakau mengambil bahagian dalam karnival kerjaya atau lain-lain aktiviti pengambilan pelajar
- Staf dan sukarelawan terlatih yang dilantik akan menguatkuasakan Polisi ini. Talian dan emel aduan awam juga disediakan untuk melaporkan pelanggaran Polisi ini.
- Individu yang didapati melanggar mana-mana peruntukan Polisi ini akan diberi amaran dan boleh dikenakan denda atau diambil tindakan mengikut Peraturan-peraturan Bebas Tembakau USM 2012.
- USM menyediakan perkhidmatan berhenti merokok di dalam kampus untuk para perokok yang ingin berhenti merokok iaitu Klinik Berhenti Merokok dan Perkhidmatan USMQuitline.
- Pengambilan pelajar dan staf baru akan mengambil kira status merokok masing-masing.
- Polisi ini akan dilaksanakan dan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Januari 2013.

0 comments:
Post a Comment