Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah bersetuju untuk melantik Profesor Muhamad bin Jantan, 57, sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM) selama tiga tahun bermula 1 Februari ini.
Jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM kosong apabila penyandangnya ketika itu, Profesor Dato’ Asma Haji Ismail dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Disember 2012.
Muhamad, anak kelahiran Tampin, Melaka itu sebelum ini adalah Pengarah Bahagian Pembangunan Institusi USM sebelum dilantik menjadi Dekan Institut Pengajian Siswazah pada 1 Januari lalu.
Muhamad memegang ijazah Sarjana Muda Sains (B.Sc. – 1st Class) dari University of Warwick dan Ph.D dalam bidang Penyelidikan Operasi dari University of Wales, United Kingdom. Selepas menjadi tutor di College of Wales, Aberystwyth pada 1979, beliau kembali ke Malaysia memulakan kerjayanya di USM pada tahun 1982 di Pusat Pengajian Sains Matematik, kemudiannya berpindah ke Pusat Pengajian Pengurusan pada tahun 1990. Beliau dilantik sebagai Profesor Madya pada tahun 1993 dan kemudiannya sebagai Profesor pada tahun 2000.